Wednesday, October 8, 2008

Cadangkan langkah-langkah yang perlu dambil untuk mengawal proses urbanisasi yang pesat di bandar-bandar utama negara Malaysia.

  1. Proses urbanisasi yang pesat di Malaysia adalah akibat daripada kepesatan aktiviti migrasi luar bandar ke bandar. Untuk mengawal proses urbanisasi secara berkesan, langkah mengawal migrasi ini perlu diambil. Ini dapat dilakukan dengan memajukan kawasan luar bandar. Sektor pertanian perlu dimajukan dengan memberi bantuan kewangan, bantuan nasihat dan menyatukan kawasan tanah pertanian yang sempit dalam konsep pertanian bersepadu. Kaedah moden diperkenalkan seperti menggalakkan penggunaan bijih benih yang bermutu tinggi, penggunaan jentera, baja organik, racun serangga supaya hasil perngeluaran dapat ditingkatkan. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu memperbaiki kemudahan infrastruktur di luar bandar. Bekalan elektrik, air, kemudahan perhubungan dan pengangkutan perlu dibina di kawasan luar bandar. Dengan kemajuan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, maka mereka tidak akan berhijrah ke bandar. Keadaan ini dapat mengwal proses urbanisasi yang pesat.
  2. Kerajaan juga boleh mengurangkan aliran penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka tanah-tanah baru untuk pertanian. Kawasan-kawasan pertanian baru diteroka di bawah Rancangan Pembangunan Tanah FELDA. Di bawah program ini, segala kemudahan asas disediakan di kawasan baru ini termasuk rumah kediaman, air, elektrik, jalan raya, klinik dan sekolah. Pertanian dilakukan dengan menanam tanaman jualan seperti getah dan kelapa sawit di bawah FELDA dan tenaga kerja terdiri daripada petani yang dipilih untuk menyertai program ini. Program ini telah dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan telah berjaya mengalihkan arah aliran penduduk desa dan bandar ke kawasan-kawasan ini.
  3. Pembinaan bandar-bandar baru di kawasan pertanian yang jauh dari bandar utama dapat menarik penduduk luar bandar ke sini. Ini akan mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar-bandar utama yang akan menimbulkan banyak masalah. Di bandar kecil yang baru dibuka, pelbagai kemudahan perlu dilengkapkan seperti jalan raya, elektrik, air, telekomunikasi dan kawasan industri juga didirikan untuk mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan kepada penduduk luar bandar. Industri berasaskan pertanian, industri ringan, industri berintensif buruh digalakkan untuk mendirikan kilang di sini. dengan cara ini, dapat mengelakkan pengelompokan industri di bandar utama dan juga dapat memajukan kawasan luar bandar. Contoh bandar-bandar baru seperti Bandar Durian Mas di Terengganu dan Bandar Muadzam Shah di Pahang.
  4. Perbandaran yang pesat di bandar juga boleh diatasi dengan mengubah corak ekonomi luar bandar. Seperti yang dimaklumkan corak ekonomi luar bandar adalah berdasarkan pertanian. Ramai pemuda-pemudi tidak berminat bekerja dalam bidang ini, maka mereka akan berhijrah ke bandar-bandar besar. Untuk mengurangkan aliran penduduk ini, kawasan desa boleh digalakkan untuk membangunkan dalam sektor industri desa seperti industri memproses hasil-hasil pertanian, industri kraftangan dan industri makanan. Dengan ini kawasan luar bandar akan dimajukan. Contoh, perkembangan industri kraftangan seperti industri membuat tembikar di Sayong Perak, industri batik dan songket di Terengganu, industri barang-barang kemas perak di Kelantan.
  5. Usaha-usaha memodenkan ekonomi luar bandar dibantu dengan pinjaman kewangan oleh kerajaan negeri serta khidmat nasihat oleh badan-badan tertentu. Dengan proses memodenkan ekonomi luar bandar, penduduk luar bandar akan melibatkan dalam sektor-sektor ekonomi moden ini dan mewujudkan peluang bagi mereka untuk memajukan ekonomi diri sendiri.
(Sumber: Diubahsuai daripada Strategi Menjawab STPM Geografi Kertas 2, Fajar Bakti)