Thursday, October 9, 2008

Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan alam sekitar?

Pengurusan alam sekitar merujuk kepada usaha memelihara dan memulihara alam sekitar, dan juga mengawal pencemaran alam sekitar. Memelihara alam sekitar bermaksud menjaga dan melindungi alam sekitar daripada kerosakan akibat pembangunan. Memuliharaan bermaksud usaha membaik pulih alam sekitar yang terjejas akibat pembangunan. Dalam pengurusan alam sekitar, langkah pengawalan supaya alam sekitar tidak teruk tercemar juga dititikberatkan. Langkah pengurusan terbahagi kepada langkah perundangan dan penguatkuasaan termasuk pemantauan, langkah bukan perundangan seperti kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar serta pengurusan sumber yang strategik.
(Sumber: Diubahsuai daripada Score in STPM Kertas Geografi 2)

Wednesday, October 8, 2008

Cadangkan langkah-langkah yang perlu dambil untuk mengawal proses urbanisasi yang pesat di bandar-bandar utama negara Malaysia.

  1. Proses urbanisasi yang pesat di Malaysia adalah akibat daripada kepesatan aktiviti migrasi luar bandar ke bandar. Untuk mengawal proses urbanisasi secara berkesan, langkah mengawal migrasi ini perlu diambil. Ini dapat dilakukan dengan memajukan kawasan luar bandar. Sektor pertanian perlu dimajukan dengan memberi bantuan kewangan, bantuan nasihat dan menyatukan kawasan tanah pertanian yang sempit dalam konsep pertanian bersepadu. Kaedah moden diperkenalkan seperti menggalakkan penggunaan bijih benih yang bermutu tinggi, penggunaan jentera, baja organik, racun serangga supaya hasil perngeluaran dapat ditingkatkan. Di samping itu, pihak kerajaan juga perlu memperbaiki kemudahan infrastruktur di luar bandar. Bekalan elektrik, air, kemudahan perhubungan dan pengangkutan perlu dibina di kawasan luar bandar. Dengan kemajuan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, maka mereka tidak akan berhijrah ke bandar. Keadaan ini dapat mengwal proses urbanisasi yang pesat.
  2. Kerajaan juga boleh mengurangkan aliran penduduk luar bandar ke bandar dengan membuka tanah-tanah baru untuk pertanian. Kawasan-kawasan pertanian baru diteroka di bawah Rancangan Pembangunan Tanah FELDA. Di bawah program ini, segala kemudahan asas disediakan di kawasan baru ini termasuk rumah kediaman, air, elektrik, jalan raya, klinik dan sekolah. Pertanian dilakukan dengan menanam tanaman jualan seperti getah dan kelapa sawit di bawah FELDA dan tenaga kerja terdiri daripada petani yang dipilih untuk menyertai program ini. Program ini telah dapat meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar dan telah berjaya mengalihkan arah aliran penduduk desa dan bandar ke kawasan-kawasan ini.
  3. Pembinaan bandar-bandar baru di kawasan pertanian yang jauh dari bandar utama dapat menarik penduduk luar bandar ke sini. Ini akan mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar-bandar utama yang akan menimbulkan banyak masalah. Di bandar kecil yang baru dibuka, pelbagai kemudahan perlu dilengkapkan seperti jalan raya, elektrik, air, telekomunikasi dan kawasan industri juga didirikan untuk mewujudkan pelbagai jenis pekerjaan kepada penduduk luar bandar. Industri berasaskan pertanian, industri ringan, industri berintensif buruh digalakkan untuk mendirikan kilang di sini. dengan cara ini, dapat mengelakkan pengelompokan industri di bandar utama dan juga dapat memajukan kawasan luar bandar. Contoh bandar-bandar baru seperti Bandar Durian Mas di Terengganu dan Bandar Muadzam Shah di Pahang.
  4. Perbandaran yang pesat di bandar juga boleh diatasi dengan mengubah corak ekonomi luar bandar. Seperti yang dimaklumkan corak ekonomi luar bandar adalah berdasarkan pertanian. Ramai pemuda-pemudi tidak berminat bekerja dalam bidang ini, maka mereka akan berhijrah ke bandar-bandar besar. Untuk mengurangkan aliran penduduk ini, kawasan desa boleh digalakkan untuk membangunkan dalam sektor industri desa seperti industri memproses hasil-hasil pertanian, industri kraftangan dan industri makanan. Dengan ini kawasan luar bandar akan dimajukan. Contoh, perkembangan industri kraftangan seperti industri membuat tembikar di Sayong Perak, industri batik dan songket di Terengganu, industri barang-barang kemas perak di Kelantan.
  5. Usaha-usaha memodenkan ekonomi luar bandar dibantu dengan pinjaman kewangan oleh kerajaan negeri serta khidmat nasihat oleh badan-badan tertentu. Dengan proses memodenkan ekonomi luar bandar, penduduk luar bandar akan melibatkan dalam sektor-sektor ekonomi moden ini dan mewujudkan peluang bagi mereka untuk memajukan ekonomi diri sendiri.
(Sumber: Diubahsuai daripada Strategi Menjawab STPM Geografi Kertas 2, Fajar Bakti)

Friday, October 3, 2008

Masalah dan Faedah Penyertaan Malaysia dalam AFTA

Di antara faedah penyertaan Malaysia dala AFTA ialah:
  1. Malaysia boleh dengan bebasnya mengeksport barangannya dalam kuantiti yang banyak dari sektor pertanian, perlombongan dan perkilangan ke negara-negara anggota ASEAN yang sama-sama menyertai AFTA. Negara ASEAN lain tidak boleh menyekat atau mengenakan tarif atau cukai import yang tinggi terhadap barangan dari Malaysia.
  2. Malaysia juga boleh mengimport barangan yang lebih murah dari negara-negara anggota AFTA. Ini menyebabkan penduduk Malaysia yang berpendapatan rendah mampu membeli barangan dari negara-negara ASEAN.

Di antara masalah yang dihadapi oleh Malaysia dalam AFTA ialah:

  1. Wujudnya longgokan barangan murah, kurang bermutu dan barangan tiruan di pasaran Malaysia.
  2. Persaingan sengit terpaksa dihadapi oleh sektor pembuatan Malaysia dengan barangan import dari negara-negara ASEAN. Produk keluaran Indonesia dan Thailand yang lebih murah harganya sering menjadi pilihan penduduk Malaysia menyebabkan barangan buatan Malaysia kurang laris di kalangan penduduk tempatan.
  3. Malaysia terpaksa mengambil langkah untuk melindungi industri kereta nasional iaiatu Proton daripada import kereta yang lebih murah dan bermutu yang dipasang di negara-negara AFTA atau ASEAN.

(Sumber: Diubahsuai daripada Score in STPM Geografi Kertas 2, Oxford Fajar)

Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)

Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) ialah sebuah pasaran serantau bersepadu apabila hampir kesemua cukai atau tarif bagi barangan yang diniagakan diturunkan kepada tahap minimum atau dihapuskan sepenuhnya dalam jangka masa yang telah ditetapkan oleh negara-negara anggota. AFTA menyediakan akses atau peluang kepada usahawan atau pelabur tempatan mempertingkatkan eksport ke negara-negara anggota ASEAN lain. Dalam lain perkataan, negara ASEAN tidak boleh menyekat atau mengenakan tarif yang tinggi terhadap barangan yang datang dari negara anggota ASEAN yang lain. Jadi negara-negara ASEAN bebas berniaga sesama sendiri. Ia dilaksanakan peringkat demi peringkat sehingga dapat dicapai sepenuhnya pada tahun 2015.
(Sumber: Diubahsuai daripada Score in STPM Geografi Kertas 2, Oxford Fajar)

Thursday, October 2, 2008

Bagaimanakah sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektro-sektor ekonomi lain di Malaysia?

Rangka jawapan....

  1. Menjana perkembangan sektor perhotelan dan penginapan melalui peningkatan jumlah pelancong dalam dan luar negara.
  2. Menjana perkembangan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terutamanya penjualan hasil kraf tangan seperti industri membuat batik, tembikar, anyaman dan lain-lain di kawasan pelancongan.
  3. Menjana perkembangan sektor pengangkutan sama ada pengangkutan udara, pengangkutan darat ataupun pengangkutan air - penting untuk meningkatkan darjah mobiliti pelancong. Misalnya, perkhidmatan pengangkutan udara ke kawasan pedalaman Sarawak seperti Taman Negara Mulu dan kawasan Bario, pengangkutan air seperti perkhidmatan feri ke kawasan peranginan kepulauan (Pulau Langkawi, Pulau Tioman dll), pengangkutan darat - perkhidmatan bas persiaran ke Tanah Tinggi Genting, Tanah Tinggi Cameron dll.
  4. Konsep agro-pelancongan seperti kolam ternakan ikan dan homestay menjadi daya penarik pelancongan pertanian. Secara tidak langsung, kegiatan pertanian dan penternakan akan giat dijalankan bagi menarik jumlah pelancong terutamanya ke kawasan luar bandar.
  5. Sektor pelancongan juga membantu memajukan bidang perubatan dan sukan melalui kegiatan pelancongan kesihatan dan pelancongan sukan. Contoh pelancongan sukan - Sukan Formula One, Sukan Sea, Le Tour De Langkawi dll.
  6. Memperkembangkan sektor perniagaan misalnya melalui Pesta Jualan pada setiap bulan Mac, Mei/Jun, Ogos/September dan Disember - menggalakkan pelancong dari negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Singapura datang membeli-belah di Malaysia.

(Sumber: Diubahsuai daripada Kemahiran Geografi, Arah Pendidikan)

Wednesday, October 1, 2008

Jelaskan kesan aktiviti perlombongan petroleum dan gas asli terhadap alam sekitar kawasan terlibat.

  1. Pencemaran laut - tumpahan minyak dan pembuangan sisa terutamanya dari atas pelantar ke laut dan kerja penggerudian minyak dan gas di dasar laut. Selain it, ia juga berpunca daripada kerosakan kapal tangki yang mengangkut minyak di laut dan kerja-kerja pemunggahan petroleum mentah di sekitar terminal atau pelabuhan. Pencemaran air laut ini seterusnya menyebabkan keseimbangan ekosistem marin terjejas.
  2. Kerja-kerja pembinaan kawasan bandar baru, kilang industri memproses petroleum dan gas, jalan raya dan sebagainya telah menyebabkan hakisan tanah, pemusnahan litupan bumi seperti hutan paya bakau.
  3. Aktiviti pemprosesan petroleum dan gas asli di Kerteh dan Lutong menyebabkan peningkatan kadar pencemaran udara dan pembebasan bahan-bahan pencemar udara seperti sulfur dioksida, karbon monoksida dan beberapa jenis hidrokarbon. Bahan-bahan pencemar udara ini pula bertindak sebagai nukleus kondensasi yang menyerap wap-wap air lalu menurunkan hujan asid.
  4. Peningkatan suhu persekitaran dan kejadian pulau haba - kesan daripada aktiviti pembakaran gas berlebihan di kawasan pelantar minyak dan kawasan loji pemprosesan gas asli. Keadaan ini amat dirasai di kawasan Bintulu dan Kerteh dan kawasan persekitaran.

(Sumber: Diubahsuai daripada Score in STPM Geografi Kertas 2, Oxford Fajar)

Huraikan sumbangan aktiviti perlombongan petroleum dan gas asli kepada pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.

  1. Sumber pendapatan negara - eksport petroleum mentah pada tahun 2000 menyumbang kira-kira RM14.2 bilion, gas asli (RM11.3 bilion) - membiayai projek-projek pembangunan negara seperti pembinaan Menara Berkembar KLCC, lapangan terbang Kerteh dan lain-lain.
  2. Menyediakan peluang pekerjaan - seperti ahli geologi petroleum, jurutera, ahli oceaneografi, juruteknik, pegawai tadbir dan buruh. - mengurangkan kadar pengangguran penduduk dan meningkatkan pendapatan / taraf hidup penduduk. Contoh: tahun 2000 - peluang pekerjaan sebanyak 39 900 diwujudkan dalam sektor perlombongan petroleum.
  3. Menggalakkan pemindahan teknologi dan kepakaran melalui pelbagai projek usahasama, perkongsian pintar, dan latihan lanjutan. Teknologi tinggi mungkin diimport atau diperolehi melalui usahasama dengan syarikat asing. Usaha penyelidikan dan pembangunan (R & D) sentiasa dijalankan oleh PETRONAS dalam konteks teknik baru mengesan dan mengeluarkan sumber serta teknik baru menghasilkan pelbagai produk berkualiti. Misalnya teknologi seismik dan satelit digunakan dalam mengesan lokasi medan petroleum.
  4. Memajukan kilang industri yang berkaitan terutamanya industri berasaskan sumber petroleum dan gas asli seperti kilang menapis petroleum di Lutong di Miri dan Kerteh di Terengganu, dan kilang mencairkan gas asli di Bintulu. Kilang industri lain turut berkembang seperti industri membuat baja urea dan petrokimia.
  5. Mewujudkan rangkaian sistem pengangkutan seperti jalan raya, jalan kereta api, kemudahan pelabuhan, lapangan terbang dan lain-lain. Kewujudan kemudahan pengangkutan ini bertujuan untuk mempercepatkan penghantaran petroleum dan gas asli ke kilang memproses dan kawasan pasaran serta mengangkut tenaga pekerja dan membawa masuk pelabur asing. Misalnya, rangkaian pengangkutan yang padat di sepanjang pinggir pantai Miri, Sarawak dan Kerteh, Terengganu.

Monday, September 29, 2008

Faktor-faktor yang mempengaruhi kemerosotan guna tenaga tempatan dalam sektor pertanian di Malaysia.

  1. Perubahan minat belia terhadap sektor perkilangan dan perkhidmatan yang menawarkan gaji bulanan yang lebih lumayan dan tetap mendorong penghijrahan mereka ke bandar.
  2. Sistem pemilikan dan pemecahan tanah mengikut warisan pusaka menjadikan saiz tani semakin kecil. Aktiviti pertanian di kebanyakan kawasan luar bandar dijalankan pada skala kecil menjadikan sektor ini kurang ekonomik dan kurang menguntungkan.
  3. Pendapatan dalam sektor pertanian tidak menentu berbanding dengan sektor-sektor ekonomi yang lain. Ia dipengaruhi oleh harga di pasaran tempatan dan pasaran antarabangsa yang tidak menentu.
  4. Sektor pertanian dikaitkan dengan golongan miskin. Kekurangan modal dan pengetahuan untuk mengusahakan tanah pertanian secara komersial menjadikannya kurang menguntungkan.
  5. Hasil pengeluaran sektor pertanian dipengaruhi oleh faktor perubahan cuaca dan iklim. Bencana alam seperti kemarau yang panjang, banjir dan serangan serangga perosak boleh menjejaskan hasil tanaman dan seterusnya mengurangkan keuntungan para petani. Risiko sedemikian boleh menjejaskan minat penduduk untuk menceburi sektor ini.

(Sumber: Diubahsuai daripada Kemahiran Geografi, Arah Pendidikan)

Monday, September 8, 2008

Jelaskan halangan-halangan yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN untuk meningkatkan perdagangan. [8 markah]

Perdagangan intra ASEAN menghadapi beberapa halangan. Salah satu daripadanya ialah persaingan sesama negara pengeluar. Negara-negara ASEAN mengeluarkan bahan mentah yang hampir sama, contohnya getah, kelapa sawit dan timah dihasilkan oleh Indonesia, Malaysia dan Negara Thai. Kayu keras dikeluarkan oleh hampir semua negara ASEAN. Negara-negara seperti Brunei, Myanmar, Malaysia dan Indonesia mengeluarkan petroleum. Bahan-bahan hasil industri perkilangan juga hampir sama kerana tahap pembangunan industri hampir sama. Oleh itu, terdapat persaingan sesama negara ASEAN untuk mendapatkan pasaran di Asia Tenggara ini. Komoditi barangan yang homogen ini juga menyebabkan negara-negara ASEAN bersaing antara sendiri untuk mendapatkan pasaran antarabangsa dan akhirnya terpaksa menurunkan harga.
Halangan kedua yang mempengaruhi perdagangan antara negara ASEAN adalah saiz pasaran yang kecil. Jumlah penduduk Asia Tenggara kira-kira 500 juta hanyalah merupkan 1/10 daripada penduduk dunia. Jumlah penduduk yang kecil hanya membentuk satu pasaran yang kecil. Tambahan pula, kuasa beli penduduk negara-negara ASEAN agak randah. Negara-negaraseperti Indonesia, Filipina, Laos, Kemboja dan Vietnam merupakan negara miskin dan kuasa beli penduduknya sangat rendah. Walaupun Indonesia, Filipina dan Vietnam mempunyai bilangan penduduk yang besar, ketidakstabilan politik dan kemiskinan penduduknya menyebabkan kuasa beli sangat rendah. Sebaliknya, negara yang maju dan kaya seperti Singapura dan Brunie hanya memiliki saiz pasaran yang kecil kerana jumlah penduduknya sangat rendah, iaitu masing-masing memiliki jumlah penduduk kira-kira 3.1 juta dan 0.4 juta orang.
Selain itu, negara-negara ASEAN menghadapi persaingan daripada barangan negara-negara maju khususnya barangan industri perkilangan. Negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman telah lama menjalankan industri perkilangan, maka barangannya mempunyai mutu yang lebih tinggi. Mereka juga mempunyai modal besar, kilang berskala besar dengan kos operasi yang lebih rendah. Justeru, barangan ASEAN menghadapi persaingan yang hebat daripada negara maju. Misalnya, televisyen dari Jepun mendapat pasaran yang luas di negara-negara ASEAN. Barangan pertanian dan perlombongan juga menghadapi saingan daripada getah dan timah. Getah juga menghadapi saingan daripada getah tiruan yang dihasilkan oleh negara-negara maju. Akibatnya, negara-negara ASEAN sukar meningkatkan nilai dalam perdagangan mereka.
Begitu juga sikap pengguna di negara-negara ASEAN yang sentiasa menganggap barangan dari negara-negara maju adalah lebih bermutu dan tahan lama. Ini dapat dibuktikan dengan jumlah barangan negara maju yang dipasarkan di negara-negara ASEAN ini, contohnya kereta buatan Jepun dan Jerman, bahan elektronik dari Amerika Syarikat dan lain-lain. Pada peringkat awal pelaksanaan projek kereta Proton, syarikat Proton mengalami kerugian kerana tidak mendapat sambutan yang baik. Sikap pengguna di negara-negara ASEAN seperti ini mempengaruhi harga barangan dan jumlah barangan yang dapat dipasarkan ke negara-negara ASEAN ini.
Selaini itu, negara-negara ASEAN juga menetapkan sekatan-sekatan tertentu terhadap barangan negara-negara ASEAN yang lain untuk melindungi industri mereka. Sekatan-sekatan seperti dikenakan tarif import yang tinggi, kuota import barangan tertentu. Contohnya, hanya 14 082 jenis barangan yang dapat didagangkan secara bebas antara negara-negara ASEAN di bawah projek PTA ASEAN, di mana barangan-barangan ini mendapat potongan cukai sebanyak 25.5%. Banyak barangan lain masih tidak dapat didagangkan secara bebas, contohnya kereta. Sekatan-sekatan ini memang mempengaruhi nilai perdagangan negara-negara ASEAN.