Monday, September 8, 2008

Jelaskan halangan-halangan yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN untuk meningkatkan perdagangan. [8 markah]

Perdagangan intra ASEAN menghadapi beberapa halangan. Salah satu daripadanya ialah persaingan sesama negara pengeluar. Negara-negara ASEAN mengeluarkan bahan mentah yang hampir sama, contohnya getah, kelapa sawit dan timah dihasilkan oleh Indonesia, Malaysia dan Negara Thai. Kayu keras dikeluarkan oleh hampir semua negara ASEAN. Negara-negara seperti Brunei, Myanmar, Malaysia dan Indonesia mengeluarkan petroleum. Bahan-bahan hasil industri perkilangan juga hampir sama kerana tahap pembangunan industri hampir sama. Oleh itu, terdapat persaingan sesama negara ASEAN untuk mendapatkan pasaran di Asia Tenggara ini. Komoditi barangan yang homogen ini juga menyebabkan negara-negara ASEAN bersaing antara sendiri untuk mendapatkan pasaran antarabangsa dan akhirnya terpaksa menurunkan harga.
Halangan kedua yang mempengaruhi perdagangan antara negara ASEAN adalah saiz pasaran yang kecil. Jumlah penduduk Asia Tenggara kira-kira 500 juta hanyalah merupkan 1/10 daripada penduduk dunia. Jumlah penduduk yang kecil hanya membentuk satu pasaran yang kecil. Tambahan pula, kuasa beli penduduk negara-negara ASEAN agak randah. Negara-negaraseperti Indonesia, Filipina, Laos, Kemboja dan Vietnam merupakan negara miskin dan kuasa beli penduduknya sangat rendah. Walaupun Indonesia, Filipina dan Vietnam mempunyai bilangan penduduk yang besar, ketidakstabilan politik dan kemiskinan penduduknya menyebabkan kuasa beli sangat rendah. Sebaliknya, negara yang maju dan kaya seperti Singapura dan Brunie hanya memiliki saiz pasaran yang kecil kerana jumlah penduduknya sangat rendah, iaitu masing-masing memiliki jumlah penduduk kira-kira 3.1 juta dan 0.4 juta orang.
Selain itu, negara-negara ASEAN menghadapi persaingan daripada barangan negara-negara maju khususnya barangan industri perkilangan. Negara-negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman telah lama menjalankan industri perkilangan, maka barangannya mempunyai mutu yang lebih tinggi. Mereka juga mempunyai modal besar, kilang berskala besar dengan kos operasi yang lebih rendah. Justeru, barangan ASEAN menghadapi persaingan yang hebat daripada negara maju. Misalnya, televisyen dari Jepun mendapat pasaran yang luas di negara-negara ASEAN. Barangan pertanian dan perlombongan juga menghadapi saingan daripada getah dan timah. Getah juga menghadapi saingan daripada getah tiruan yang dihasilkan oleh negara-negara maju. Akibatnya, negara-negara ASEAN sukar meningkatkan nilai dalam perdagangan mereka.
Begitu juga sikap pengguna di negara-negara ASEAN yang sentiasa menganggap barangan dari negara-negara maju adalah lebih bermutu dan tahan lama. Ini dapat dibuktikan dengan jumlah barangan negara maju yang dipasarkan di negara-negara ASEAN ini, contohnya kereta buatan Jepun dan Jerman, bahan elektronik dari Amerika Syarikat dan lain-lain. Pada peringkat awal pelaksanaan projek kereta Proton, syarikat Proton mengalami kerugian kerana tidak mendapat sambutan yang baik. Sikap pengguna di negara-negara ASEAN seperti ini mempengaruhi harga barangan dan jumlah barangan yang dapat dipasarkan ke negara-negara ASEAN ini.
Selaini itu, negara-negara ASEAN juga menetapkan sekatan-sekatan tertentu terhadap barangan negara-negara ASEAN yang lain untuk melindungi industri mereka. Sekatan-sekatan seperti dikenakan tarif import yang tinggi, kuota import barangan tertentu. Contohnya, hanya 14 082 jenis barangan yang dapat didagangkan secara bebas antara negara-negara ASEAN di bawah projek PTA ASEAN, di mana barangan-barangan ini mendapat potongan cukai sebanyak 25.5%. Banyak barangan lain masih tidak dapat didagangkan secara bebas, contohnya kereta. Sekatan-sekatan ini memang mempengaruhi nilai perdagangan negara-negara ASEAN.

No comments: